Pembestarian Sekolah
merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi penggunaan ICT dalam
pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan
pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan
kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud
mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran
yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran
serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi
maklumat.
Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran
dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian
Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT.
Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan
pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan
kadar kendiri (self-paced).
Pengenalan Pembestarian
Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai
aspek perlu dilakukan supaya modal insan yang dilahirkan mampu berdaya saing
dan relevan dengan kehendak semasa. Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu
senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia dan bersesuaian dengan
perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini. Perkembangan seumpama
ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan menggabungkan serta memberikan
penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran
berbudaya fikir, pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara
bijak, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan
sekolah yang efektif.
Sekolah bestari
Sekolah bestari merupakan satu konsep sekolah di Malaysia. Konsep ini akan
membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya
untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap
pelajar - kuat atau lemah, kaya atau miskin - mencapai potensi sepenuhnya dalam
cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan.
Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem
pendidikan.
Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Matematik dan Sains, akan diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan
menggunakan teknolgi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan
pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk
perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian
Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di
sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam
perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan
pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari
yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua
Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Perkembangan Sekolah Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan
pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia.
Sekolah Bestari ini merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan
pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu
bersaing apabila menghadapi cabaran-cabaran Wawasan Negara.
Segala ilmu yg ada kita kongsikan bersama.
No comments:
Post a Comment