Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) telah menyediakan segala kemudahan untuk proses pengajaran dan
pembelajaran kepada semua kanak-kanak di Malaysia khususnya di sekolah-sekolah
kerajaan dan bantuan kerajaan. Antara kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan
termasuklah keselesaan bangunan, kerusi meja, buku teks, makmal komputer dan
guru bertauliah serta bilangan guru yang mencukupi.
Seiring dengan hasrat kerajaan
untuk menyediakan peluang pendidikan untuk semua, sektor swasta turut sama
menyumbang kepada usaha tersebut. Banyak institusi pendidikan swasta atau
ringkasnya IPS, beroperasi di seluruh negara bagi menyediakan peluang
pendidikan kepada warganegara Malaysia dan juga warganegara antarabangsa.
Pendidikan swasta adalah
pendidikan yang disediakan kepada pelajar oleh institusi pendidikan swasta.
Institusi pendidikan swasta adalah institusi bukan bantuan Kerajaan dan ia
dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta. Penubuhan, pengurusan dan pengoperasian
institusi pendidikan swasta adalah tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996 dan
peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
SEJARAH PERKEMBANGAN :-
Pendidikan swasta telah wujud
di Malaysia semenjak tahun 1950an. Pada ketika itu banyak sekolah pondok
didirikan untuk mengajar pelajar-pelajar sebagai persediaan untuk menyambung
pelajaran di luar negeri khususnya dalam bidang agama. Pada awal 1970an,
perkembangan semasa peranan dan fungsi sistem pendidikan telah mewujudkan
sekolah swasta bagi menampung pelajar-pelajar untuk meneruskan pelajaran di
peringkat menengah.
KATEGORI INSTITUSI :-
Sistem pendidikan kebangsaan
merangkumi daripada peringkat prasekolah hinggalah kepada peringkat pendidikan
tinggi. Institusi pendidikan swasta secara amnya terdiri dari dua kategori
utama yang dibahagikan mengikut peringkat pendidikan yang ditawarkan.
Institusi Pendidikan Swasta
seperti sekolah swasta, sekolah antarabangsa, tadika, pusat-pusat kemahiran
termasuk pusat bahasa, pusat tuisyen, pusat latihan komputer, pusat kemahiran
teknikal dan pusat perdagangan adalah di bawah seliaan dan tanggungjawab
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Operasi institusi pendidikan
swasta dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta. Walau bagaimanapun proses
penubuhan dan pendaftaran, pengurusan dan operasi sesebuah IPS adalah tertakluk
di bawah Akta Pendidikan 1996.
Kategori kedua merupakan
institusi pendidikan tinggi swasta yang terdiri dari institusi pendidikan
bertaraf kolej, kolej universiti dan universiti yang terletak di bawah kawalan
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Ringkasnya dua kategori utama
institusi tersebut adalah terdiri daripada Institusi Pendidikan Swasta yang di
bawah seliaan KPM, dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang di bawah
seliaan KPTM. Kesemua institusi pendidikan berkenaan perlu berdaftar dengan
Kementerian berkaitan terlebih dahulu sebelum dibenar beroperasi.
Institusi pendidikan yang
tergolong dalam kategori ini menawarkan pendidikan dari peringkat pra sekolah,
sekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah. Jenis-jenis institusi
pendidikan swasta dalam kategori yang perlu didaftarkan dengan Kementerian
Pelajaran termasuklah:
1.
Tadika swasta yang mengikuti Kurikulum Kebangsaan Prasekolah
Kementerian Pelajaran Malaysia
2.
Sekolah rendah dan menengah swasta yang mengikuti Kurikulum
Kebangsaan dan penilaian yang dicadangkan
3.
Sekolah rendah dan menengah agama swasta yang mengikuti Kurikulum
Kebangsaan
4.
Sekolah persendirian Cina yang mengikuti garis panduan Kementerian
Pelajaran
5.
Sekolah Ekspatriat
6.
Sekolah Antarabangsa
7.
Pusat tuisyen yang menyediakan bantuan pelajaran kepada para
pelajar mengikut Kurikulum Kebangsaan
8.
Pusat bahasa, pusat latihan komputer, pusat kemahiran/
perdagangan, sekolah gaya pos dan lain-lain
No comments:
Post a Comment